
Harun pula tinggalkan KOM
Oleh Jumiati Rosly
jumiati@bharian.com.my
2012/01/26
KRISIS dalaman Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) kembali bergolak dengan kali ini ketua jurulatih negara, Harun Rasheed meletakkan jawatan daripada badan induk itu.
Memberi alasan persembahan anak buahnya yang hambar pada Sukan SEA Indonesia, November lalu, Harun menjelaskan dia menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Timbalan Presiden Karim Ibrahim dan juga Presiden Datuk Seri Shahidan Kassim berhubung pengundurannya selepas tamat temasya itu.
“Saya tidak mahu ulas lanjut tetapi saya sedia berjumpa Presiden menjelaskan lebih terperinci dalam masa terdekat. Saya sudah 30 tahun menjadi jurulatih dan sudah tiba masanya saya berehat,” katanya. Skuad olahraga menyumbang enam emas, dua perak dan tiga gangsa pada Sukan SEA, baru-baru ini.
Harun, 58, yang mengambil alih jawatan ketua jurulatih daripada Hanapiah Nasir sejak 2010 berkata dia juga mahu memberi tumpuan kepada keluarga.
Sementara itu, Pengurus Sukan Olahraga Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk M Magendran berkata MSN tidak dimaklumkan mengenai peletakan jawatan itu memandangkan kontrak Harun dengan MSN sudah tamat sejak 31 Disember 2010 dan selepas itu pembayaran gaji Harun dilakukan secara geran terus kepada KOM.
HMetro
Harun sah letak jawatan
Oleh Aida Adilah Mat
aida@hmetro.com.my
EPISOD kemelut Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) kini kembali panas apabila ketua jurulatihnya, Harun Rasheed secara sah mengumumkan peletakan jawatannya, semalam.
Selepas berfikir panjang membabitkan pelbagai faktor, Harun mengambil keputusan untuk melepaskan tugas disandangnya sejak awal 2010 sejurus selepas temasya Sukan Sea di Indonesia tahun lalu.
Harun bagaimanapun menolak peletakan jawatan itu berpunca daripada masalah yang melanda KOM sepanjang tahun lalu selain menafikan kemungkinan kembali memegang jawatan itu dalam tempoh terdekat. Beliau enggan memberi sebarang komen lanjut berhubung peletakan jawatan itu hingga bertemu Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim.
“Saya akan jumpa Shahidan terlebih dulu dan bersedia bertemu dengannya pada bila-bila. Buat masa ini saya tidak mahu memberi komen lebih lanjut.
“Banyak sangat yang berlaku dalam KOM dan saya sudah letih dan perlukan masa untuk berehat,” katanya yang biarpun sedih dengan situasi itu menganggap sudah tiba masanya untuk beliau memberi tumpuan kepada keluarga.
“Saya sudah berusia dan ini saat paling sesuai untuk saya mengundur diri dan memberi tumpuan terhadap keluarga. Tambahan pula anak bongsu saya akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini,” katanya. Begitupun beliau tidak akan melupakan tugasnya selama lebih 30 tahun bergelar jurulatih negara dan akan tetap membantu sekiranya ada pihak yang meminta bantuannya. KOM disifatkan sebagai persatuan bermasalah oleh Menteri Belia dan Sukan Negara, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Mereka mencetuskan isu panas dalam arena olahraga negara apabila enam atletnya didakwa melarikan diri daripada ujian dadah dan terbaru, atlet yang merangkul emas di Sukan Sea didapati positif dadah.
Sementara itu, pegawai penyelaras Olahraga Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk M Magendren tidak mengetahui mengenai peletakan jawatan Harun kerana kontraknya bersama MSN tamat pada 31 Disember 2010. Katanya, jawatan yang dipegang dan gaji yang diterima jurulatih itu diuruskan sepenuhnya KOM. “Harun hingga kini tidak menandatangani kontrak sebagai jurulatih dengan MSN dan saya tidak pasti kesahihan peletakan jawatan Harun,” katanya.
JAN



![HM26012012[2] HM26012012[2]](http://mysukan.com/wp-content/uploads/2012/01/HM260120122-150x150.jpg)


About the Author