Positif doping mungkin angkara pegawai perubatan
Oleh AIZAWATI AHMAD
sukan@utusan.com.my
KUALA LUMPUR – Seorang atlet yang mengikuti kem latihan di Brunei mendedahkan seorang rakannya yang diuji positif doping sampel A pada Sukan SEA XXVI, mungkin ‘angkara’ pegawai perubatan luar negara yang tidak jelas identitinya.
Atlet berkenaan mendakwa pegawai perubatan asing itu mengiringi mereka ketika menyertai kem latihan di negara jiran itu, sebagai persiapan untuk ke temasya dwi tahunan tersebut.
“Difahamkan atlet yang dikesan positif doping pada Sukan SEA lalu telah diberi sebiji pil dan disuntik sejenis ubat oleh pegawai perubatan tersebut yang menemui atlet tersebut di biliknya.
“Tindakan tersebut tidak dihalang oleh atlet berkenaan memandangkan doktor itu dikatakan sememangnya ditugaskan untuk menjaga mereka ketika di Brunei,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Dakwa sumber itu lagi, tindakan memberi suplemen dan disuntik sejenis ubat langsung tidak menimbulkan keraguan kepada atlet tersebut.
Katanya, ini kerana atlet tersebut percaya sepenuhnya kepada kepakaran pegawai perubatan asing itu.
Utusan Malaysia difahamkan pegawai perubatan asing itu tidak lagi berada di tanah air sebaliknya telah pun pulang ke negara asalnya.
Selasa lalu Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengesahkan dua atlet negara, masing-masing seorang daripada acara olahraga dan angkat berat yang menang pingat pada Sukan SEA lalu positif ujian doping sampel A.
Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi ketika mengesahkan perkara itu berkata, surat mengenainya diterima daripada Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Indonesia (Inasoc) 21 Disember lalu.
Bagaimanapun, kedua-dua atlet tersebut perlu menunggu keputusan sampel B bagi mengetahui sama ada mereka betul-betul sah menggunakan bahan terlarang ketika menyertai temasya tersebut.





